Sunday, 21 May 2017

Friday, 28 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 4

RIHANNA mendongak merenung langit yang terang dipancar cahaya bulan. Angin bertiup agak kencang malam itu membuatkan suhu semakin dingin. Dia menggosok-gosok lengan bagi menghalau kedinginan yang menggigit kulit yang hanya di alas dengan gaun nipis. Indah sungguh suasana malam di kampung itu. Dah lama dia tak rasa tenang dan nyaman. Dek terlalu mengejar cita-cita, dia jarang balik ke kampung sejak tamat belajar. Mujur mak dan ayah faham mengenai cita-citanya.
“Belum tidur lagi?” tegur satu suara dari tanah.

Kepala Rihanna terus tunduk memandang ke bawah. “Bila abang sampai?” Terkejut dia melihat Addi. Lelaki itu masih lagi berseragam celoreng.

“Petang tadi. Tapi abang keluar kejap pergi surau. Kan ada kenduri.” Addi yang sedang duduk bersandar pada motor ayah, berpeluk tubuh mendongak memandang Rihanna yang berdiri di tingkap biliknya. Dia suka tengok Rihanna. Wajahnya kelihatan semakin jelita terutama di bawah cahaya rembulan. Sudah lama mereka tak berjumpa. Masing-masing sibuk dengan tugas.

“Lama Hanna cuti kali ni?” Addi tak mahu saat-saat berdua-duaan begitu dibiarkan hambar tanpa perbualan. Bukan senang nak dapat peluang bersama Rihanna. Sejak sama-sama meningkat dewasa, hubungan mereka agak terpisah. Dah tak mesra seperti zaman kanak-kanak dan remaja.
“Seminggu. Baru habis shift malam. Abang?” Rihanna menyandarkan kepala pada sisi tingkap. Dia senang memandang ke arah Addi. Seorang lelaki yang dia percayai sejak kecil. Lelaki yang akan melindunginya sampai bila-bila. Ibarat seorang abang yang tak pernah dia ada.

“Dua minggu. Baru habis operasi.” Addi nampak peluang untuk merapatkan kembali hubungan mereka. Selama lima hari itu, dia akan berpeluang mendekatkan diri dengan Rihanna. “Esok abang nak ke bandar. Belikan hadiah untuk mak dan ayah. Dah lama abang tak belikan mereka sesuatu. Hanna nak ikut?” Addi mula mengumpan. Gunakan nama mak dan ayah untuk selindungkan hajat sebenar di hati.

Rihanna diam seketika memikirkan pelawaan Addi. Dia juga dah lama tak belikan apa-apa yang istimewa untuk mak dan ayah. Rihanna tiba-tiba teringat tentang mesin jahit mak yang dah rosak. Walaupun mak tak pernah minta, dia tahu mak tentu suka kalau dapat mesin jahit baru. Terutama kalau model baru yang lebih canggih daripada mesin cap Singer manual yang dah berumur belasan tahun tu.

“Boleh. Hanna nak berikan mak satu kejutan.” Di hujung kata, dia tergelak kecil. Di fikirannya terbayang akan kegirangan wajah mak tatkala menerima mesin Singer elektrik. Tak perlulah mak nak mengayuh sepanjang masa.

Addi tersenyum melihat keceriaan Rihanna. Hatinya makin tertambat. Lagi payah dia hendak melepaskan gadis itu pergi daripada fikirannya selepas ini.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

Thursday, 27 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 3

ENTAH berapa lama dia menghabiskan masa dengan tangisan? Wajahnya basah melekit dek air mata. Retno Dumilah mengangkat muka mahu merenung ke hadapan. Mulutnya separa ternganga. Matanya dikelip berkali-kali. Antara percaya dengan tidak melihat pintu bilik kurungan terbuka separuh. Siapa yang bukakan pintu untuknya? Ayahandakah? Raja Hantu sudah memaafkan dirinya? Kekanda Kael juga sudah tidak marah kepadanya?

Hatinya yang gundah terasa girang. Sisa air mata disapu dengan belakang lengan baju. Tergesa-gesa dia bangun. Rasa sakit selepas melahirkan dua bayi kembar tadi seolah-olah tak terasa. Dia lebih teruja mahu keluar dari situ mencari anak-anaknya.

Keadaan penjara di bawah tanah suram dan sunyi. Ke mana pergi semua pengawal? Retno Dumilah melangkah hati-hati sambil mengampu perut dengan sebelah tangan. Keadaan perutnya masih sedikit membuncit. Belum mengempis sepenuhnya selepas kelahiran puteri-puterinya. Di manakah mereka? Adakah mereka selamat? Retno Dumilah tetap tak berhenti mengharap. Di mana Rafiqi? Selamatkah dia daripada amukan ayahanda?

Di hujung lorong, dia terlihat satu lembaga berpakaian putih. “Siapa?” Dengan berani dia bertanya. Dia sangat yakin lembaga itu bukan pengawal istana Raja Hantu yang semuanya berpakaian hitam.

“Ikut aku kalau kau mahu selamat.” Suara itu bergema perlahan.

Lembaga itu hilang di sebalik selekoh. Lantas Retno Dumilah mempercepatkan langkah mengejar lelaki berpakaian putih itu. Dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuan mereka. Bahagian penjara ini amat asing bagi dirinya. Setelah beberapa waktu melintasi pintu kayu yang berbaris yang mengurung entah apa jenis banduan, laluan mereka terhalang dek satu pintu kayu di hujung lorong.

Pintu itu seperti tidak berkunci kerana begitu mudah lelaki tua berjanggut itu membukanya. Retno Dumilah terus mengekori tanpa syak wasangka. Pintu itu membawanya keluar dari lorong bawah tanah. Mendaki sedikit dan muncul di tengah-tengah hutan belantara. Nafas Retno Dumilah sedikit mencungap. Dia tersandar pada batang pokok mengambil nafas. Tenaganya masih belum pulih sepenuhnya. Tambahan pula sejak melahirkan, dia belum minum darah.. Tekaknya terasa amat dahaga.

Setelah melepaskan lelah dan mengambil nafas, baru Retno Dumilah sedari. Lelaki tua yang membantu melepaskan dirinya langsung tak kelihatan di mana-mana. Seolah-olah lelaki itu ghaib ditelan udara. Tanpa memikirkan keanehan itu, Retno Dumilah meneruskan langkah. Dia harus tinggalkan tanah Daemon untuk mencari Rafiqi dan puteri-puterinya. Sebentar lagi matahari akan menjelma. Dia tak ada masa yang panjang untuk melarikan diri.

Langkah kaki diatur pantas. Rasa letih dan sakit langsung tak dipedulikan. Tika jalur suria menyentuh hujung kaki langit, dia tiba di tempat pertama kali dia bertemu dengan Rafiqi. Dia terus mendongak ke atas. Rumah pokok mereka dah musnah dirosakkan oleh orang-orang Nian. Sebak rasa hatinya. Tika dia melepaskan penat sambil bersandar pada batu, hidungnya mencium satu bau yang wangi. Bau darah muda yang segar. Kedua-dua bilah siungnya mula memanjang. Retno Dumilah sudah tiada kawalan diri kerana dia terlalu letih dan kekurangan tenaga.

Di sebalik rimbunan semak, muncul seorang kanak-kanak kecil berjalan sendirian. Menangis perlahan sambil memanggil mamanya. Saat itu Retno Dumilah hanya nampak darah. Seperti harimau bintang, dia menerkam ke arah si kecil. Kedua-dua bilah siungnya terbenam kejap pada batang leher si kecil. Langsung tiada bunyi yang kedengaran dari bibir kecil itu.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

Tuesday, 25 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 2

LOCENG berbunyi. Mariam yang sedang tersengguk-sengguk di meja, terus tersentak. “Ada orang tinggalkan baby!” Spontan dia menjerit walaupun tak ada sesiapa yang nak dengar. Dah jadi rutin dia begitu. Setiap kali loceng berbunyi, mesti ada bayi yang ditinggalkan di rumah perlindungan itu.
Kunci dicapai. Mariam membuka pintu. Selepas sarung selipar, dia berjalan ke arah satu ruang. Di ruang yang berbumbung itu terdapat sebuah bakul besar dan tali untuk loceng.

“Mari kita lihat siapa yang kena?” Mariam berlagu sendirian. Selak kain dibuka. Bulat matanya. “Wuihhh... cantiknya kamu ni... anak model mana yang malang sampai kena buang ni?” Dia terus kendong si bayi yang tertidur lena. Terburu-buru dia masuk ke dalam. Mujur malam tu dia bertugas sendirian. Rezeki terpijak. Lebar mulutnya menyengih.

Sambil mengendong bayi, dia capai telefon mudah alih. Satu nombor didail. Sambil menunggu panggilan dijawab, Mariam mencongak-congak habuan yang bakal dia dapat malam tu.
“Apa mau?” Suara Nyonya Mansur bergema di hujung sana.

“Nyonya... cantik bayi ni. Kulit putih halus. Pipi merah. Rambut hitam. Cantik sangat! Sesuai untuk Nyonya!” Begitu teruja Mariam bercerita.

“Baru sampai?”

“Baru. Tak ada sesiapa tau. Cepat Nyonya kalau mahu.” Mariam mengekek tergelak.

“Sekejap lagi aku datang. Simpan dulu bayi tu. Jangan bagi orang nampak.”

“Baik, Nyonya. Aku tunggu duitnya, ya.” Mariam meletakkan telefon. Dia bernyanyi-nyanyi sambil berpusing-pusing bersama bayi yang masih lena itu. Memang rezeki dia lagi malam tu. Sebab itu dia suka kerja malam. Waktu malam memang banyak bayi ditinggalkan di situ. Bulan tu saja, dia berjaya jual lima orang bayi. Tak termasuk bayi comel yang ni. Memandangkan bayi ni teramat comel, Mariam nak naikkan harga dua kali ganda. Tentu Nyonya Mansur tak akan menolak lepas dia tengok sendiri bayi ni.

SEBUAH kereta mewah berhenti di pekarangan rumah perlindungan. Segera Mariam keluar dan terus masuk ke dalam kereta tanpa dilihat sesiapa. Dia perlihatkan bayi comel itu kepada Nyonya Mansur. Terbuntang mata perempuan itu melihat akan kesempurnaan wajah si bayi. Seketika, dia diam tanpa kata-kata.

Mungkin dia juga sedang mencongak di kepala akan keuntungan pelaburan yang akan diperoleh daripada bayi itu kelak. Makin lebar senyuman Mariam.

“RM10 ribu, Nyonya. Mau?” Dia memulakan tawaran.

“RM10 ribu?” Mata Nyonya Mansur belum berkalih. Ralit merenung wajah si bayi. Walaupun diterangi lampu dalam kereta, sudah cukup baginya menilai kecantikan bayi itu. “Bole... bole.” Dia terus ambil bayi itu dari dakapan Mariam. “Budin, kasi uang sama Mariam.” Tanpa alihkan muka, Nyonya Mansur memberikan arahan kepada pemandunya.

Tersenyum-senyum Mariam menyambut sampul gemuk berisi wang tunai berjumlah RM10 ribu. Untung besar dia malam tu. Untung terpijak. “Makasih ya, Nyonya.” Mariam keluar dari kereta.

“Ayo pulang, Budin. Hari ni aku sungguh gembira. Anak ini akan berikan aku uang yang banyak.” Nyonya Mansur mengusap pipi mulus si bayi.

“Nyonya nak panggil dia apa?” Budin memandang Nyonya Mansur menerusi cermin tengah. Dia lihat majikannya begitu asyik merenung bayi comel yang harum baunya itu. Entah pewangi apa yang Mariam semburkan? Baunya sungguh asyik. Memukau jiwa.

“Wajahnya pasti ayu bila dewasa kelak. Maka aku gelar dia Ayu...Ayuna.” Terasa lega dada Nyonya Mansur selepas dia ucapkan nama itu. Mungkin nama itu dah tertulis untuk jadi milik bayi kecil ini.

Kereta yang dia naiki akhirnya tiba di sebuah mansion yang besar dan terletak di atas bukit. Mansion itu kelihatan seperti istana lama, tersergam indah di tengah-tengah hutan. Walaupun nampak seperti menyeramkan, sebenarnya mansion itu tak pernah sunyi daripada kunjungan banyak orang kaya dan berada.

Kelak, mansion itu pasti akan lebih masyhur dengan kehadiran Ayuna. Dia harus bersabar untuk 20 tahun akan datang. Dalam masa tu, akan dilatihnya Ayuna menjadi seorang Lady yang penuh sifat kewanitaan. Kelembutannya akan menjadi bual bicara. Keayuannya akan menjadi kegilaan ramai. Dan nilai dirinya pasti akan melonjak-lonjak. Masa itulah, Nyonya Mansur akan mengaut keuntungan yang melimpah ruah.

Pelaburan yang dimulakan pada malam itu, tak akan sia-sia.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

Monday, 24 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 1-2

Credit pix: Reneesme Cullen of Twilight
Murshidi turun semula ke tanah, mematikan lampu gasolin di dalam bangsal. Kemudian dia naik ke rumah mencari Zainab di bilik tidur. Bukan main girang lagi Zainab membelek bayi kecil yang hanya dibalut kain itu.

“Mulusnya kulit dia, bang. Tak ada cacat cela,” puji Zainab sungguh-sungguh. “Bodoh betul mak ayah dia buang dia macam sampah. Tak apa, nak. Mulai hari ni, mak akan jaga...” Kata-kata Zainab terhenti. Dia menoleh ke arah Murshidi yang sedang menukar pakaiannya yang lembab terkena air hujan. “Kita nak namakan dia apa, bang?”

Murshidi yang sedang menyarung tuala di pinggang, termenung seketika memikirkan nama yang sesuai. Wajah bayi yang lena kepenatan itu dipandang. Tubuhnya harum seperti bunga. Kulitnya putih mulus dan pipi kemerah-merahan. Rambut hitam lebat. Mata bundar kehitaman.
“Bunga Cinta Lestari,” spontan Murshidi mencadangkan.

“Eh... apa abang ni? Merepek ke situ pula. Saya tau la awak peminat Bunga tu. Tapi tak mahu la namakan anak kita Bunga. Nanti kena ejek. Budak-budak sekarang ni, asal pelik aje, suka mengejek!” bantah Zainab sungguh-sungguh.

Murshidi ketawa. Sengaja mahu mengusik Zainab. “Hanna...bunga dalam bahasa Jepun...atau Rihanna....”

“Wahhhh....” Zainab kagum sampai terpaling tubuhnya mengadap Murshidi. “Abang jaga sekolah tu ke...abang belajar bahasa Jepun?”

Murshidi sengih tayang gigi. “Ala awak ni... jangan ingat saya jaga bangunan semata-mata. Pelajar dengan cikgu pun saya jaga. Tentulah saya belajar sikit-sikit daripada mereka. Apa guna jaga pusat bahasa tu kalau tak belajar sekali? Percuma pulak tu.”

Zainab senyum bangga dengan kata-kata suaminya. Mereka tak berpelajaran tinggi. Belanja hidup pun cukup-cukup makan. Belum pernah lagi tak makan. Tak bermaksud mereka bodoh. Cuma mereka tak berpeluang nak belajar tinggi-tinggi sebab mak bapak mereka dulu pun orang susah. Tak mampu nak hantar anak masuk universiti.

“Rihanna.” Zainab sebut nama tu sambil pandang bayi di depannya. “Sesuai nama tu. Baiklah, bang. Kita boleh panggil dia Hanna.” Zainab tunduk dan kuncup perlahan dahi Rihanna.

Dada Murshidi lapang tiba-tiba. Memang sejak dulu lagi dia berangan-angan nak namakan anak perempuan mereka ‘Rihanna’. Malangnya rezeki mereka tak ada. Lepas kelahiran Addi, Zainab tak boleh hamil lagi kerana rahimnya terpaksa dibuang. Setahun Zainab meroyan, bersedih sebab Addi dah jadi anak tunggal. Kalau boleh, Zainab mahu anak ramai supaya dia tak kesunyian waktu tua nanti.

Tapi malam tu, tuhan dah kabulkan doa dia. Tuhan datangkan Rihanna pada dia dan Zainab. Tak kiralah siapa Rihanna sebenarnya, dia terima anak itu seadanya. Akan dilayan Rihanna seperti anak kandungnya sendiri.

*******

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

@Que Sera Sera |