Thursday, 3 October 2013

Assistant Pak Menteri~Bab 5

Untuk makluman, novel ini sedang dinilai untuk terbitan. Susunan bab tak sama di sini dengan versi novel. Bab ini versi belum edit. 
RAW YO!

BILIK mesyuarat yang luas tu rasa macam panas semacam. Atau aku aje sorang yang rasa panas? Mana tak panas...nilah pertama kali aku masuk dalam mesyuarat dengan pak menteri. Mesyuarat pula dengan pak menteri dari kementerian lain. Mau tak berpeluh ketiak.

Tambah hangat bila Mr. Panda ada sekali. Tiba-tiba aje aku rasa nak pitam tengok dia. Hensem betul bila dia pakai kot. Selalu tengok dia dengan kemeja dan tali leher aje. Tapi petang tu...aku nak drooling plak. Macam tak percaya dia laki aku. Boleh? 

Kami duduk berhadapan. Kedua-dua pak menteri duduk tengah-tengah saling berhadapan dan diapit oleh pegawai-pegawai dari kementerian masing-masing. Mesyuarat tu dipengerusikan oleh KSU kementerian Mr. Panda. Masa pengerusi buat semakan minit, barulah aku nampak nama Mr. Panda ada kat situ. Izz Rizki, Pegawai Projek. Itu tugas dia dalam jawatankuasa kerja ni. Sama dengan jawatan Encik Ashraf. Aku cuma layak jadi Pencatat Minit ajelah. Sebelum ni pegawai lain yang catat. Pegawai tu dah berpindah ke kementerian lain. Jadi akulah dilantik sebagai pengganti dia.

Bila minit dah disahkan, aku tarik nafas pajang-panjang sebab kerja aku dah bermula. Moga aku tak mengelamun layan fikiran. Mr. Panda ni pun boleh tahan sengal juga. Sempat dia main mata dengan aku masa mesyuarat. Merah-merah muka aku tahan perasaan. Bila teringat episod hangat makan tengah hari kat tangga tadi, aku terus rasa macam nak demam.

Nak elak terus rasa gelabah, aku sengetkan badan sikit hadap Encik Ashraf. Baru tenang sikit hati nak buat kerja. Seterusnya aku terus komited dan dedikasi mencatat minit sampai terkejut bila mesyuarat tamat. Overlah tu, kan.

Lepas mesyuarat ada kudapan petang. Baru aje aku nak bangun ambil minuman, tiba-tiba Pak Menteri tanya aku pasal minit tadi. Waktu tu Encik Ashraf dah bangun. Gelabah juga aku rasa. Tapi mujur aku dapat jawab pertanyaan dia dengan baik.

“Minum, Datuk Seri?” pelawa Encik Ashraf bila dia datang balik dengan dua piring kuih-muih.

“Tak apa. Saya tak boleh tunggu ni. Ada mesyuarat lain pula.” Datuk Seri dah bangun dan bersalam dengan Datuk Seri lagi satu. Mereka bercakap-cakap sesuatu, tepuk-tepuk bahu sebelum bersalaman dengan pegawai-legawai lain.

Keluar aje kedua-dua pak menteri dari bilik mesyuarat, aura formal bertukar santai. Barulah ada orang nak gelak-gelak. Kalau tak tadi, serius dan dedikasi aje muka masing-masing.

“Encik Ash tak ikut Datuk Seri ke?” Aku tanya hairan. Pegawai Khas Menteri tinggal, apa kes?
“Daud dah ikut dia.” Encik Ashraf merujuk kepada Pegawai Khas satu lagi. Dia duduk sebelah aku. “Saya dah ambilkan untuk awak.” Dia sorong sepiring kuih macam-macam jenis.

“Terima kasih.” Aku maniskan muka. Perut rasa kenyang lagi ni. Larat ke nak makan?  Tapi sebabkan Encik Ashraf beria dah ambilkan kuih untuk aku, terpaksa juga aku jamah. Cream puff aku capai dan suap dalam mulut.

Whatsapp aku bunyi. Aku letak semula puff, lap jari dengan tisu dan buka iPad.

“Amboi...makan tak ingat suami. Selamba aje layan lelaki lain.”

Muka aku terus pucat sekejap. Alamak! Cemana aku boleh lupa Mr. Panda ada kat situ? Dia pun macam Encik Ashraf ke? Tak ikut pak menteri dia balik? Aku angkat kepala dengan lagak tenang. Scan bilik mesyuarat perlahan-lahan, cari Mr. Panda. Nun kat hujung bilik sana, dia tengah berdiri sambil borak-borak dengan dua orang pegawai lain. Tapi mata dia pandang aku.

Tak terkata aku dibuatnya. Terus aku diam tak balas. Makan kuih sopan-sopan sambil layan Encik Ashraf berbual. Mr. Panda langsung tak Whatsapp. Hinggalah waktu kami nak balik, aku tak nampak kelibat Mr. Panda. Agaknya dia dah balik.

Lif nak turun tingkat bawah penuh sebab waktu tamat kerja. Terperangkaplah aku sesak-sesak dalam lif.  Aku terasa ada tangan pegang pinggang aku. Siapa pula yang kurang ajar ni sentuh-sentuh bini orang? Perlahan-lahan aku jeling ke belakang. Eh? Sejak bila pula laki aku ada dalam lif ni sekali?

Terus aku cuak dan jeling ke kanan, pandang Encik Ashraf. Dia nampak ke Mr. Panda pegang pinggang aku? Tapi mujur Encik Ashraf pandang depan. Dan semua penghuni lif pun pandang ke depan macam tak sabar-sabar nak suruh pintu terbuka. Dan mujur juga aku kat belakang sekali. Memang tak ada orang nampak apa Mr. Panda buat kat aku.

Waktu keluar dari lif, sempat lagi dia capai tangan aku dan ramas jari-jemari aku. Dah macam gangguan seksual pula aku rasa. Apa-kah?

“Izz!” Tiba-tiba Encik Ashraf berpaling ke belakang, ke arah aku dengan Mr. Panda.

Serta-merta tangan aku dia lepaskan. Mr. Panda buat muka selamba dan masukkan kedua-dua belah tangan dia dalam saku seluar. Nampak santai sekali.

“Kenalkan ni...Serafina. Setiausaha baru yang gantikan Linda dalam jawatankuasa kita.” Tiba-tiba pula Encik Ashraf nak kenalkan aku dengan Mr. Panda. Motif? Tak tau. Tapi memang patut pun, kan. Aku kan ahli baru dalam jawatankuasa tu. Lagipun Encik Ashraf mana tahu aku kenal Mr. Panda.

“Cik Fina,” tegur Mr. Panda bersahaja sambil angguk sikit pada aku.

Aku balas dengan senyuman plastik. Tak tahu nak tunjuk reaksi yang bagaimana. Canggung pula rasanya berdiri di antara Encik Ashraf dengan Mr. Panda. Rasa macam aku ada kat tengah-tengah dua menara KLCC. Aku ni dah macam Menara Maxis yang rendah tu....hahahaha.

“Dah lama kat kementerian?” Mr. Panda tiba-tiba jadi peramah nak interview aku. Tak kan tak tau? Atau dia memang sengaja sengal depan Encik Ashraf.

“Hampir dua tahun.” Aku maintain riak formal.

“Lama juga. Tapi tak pernah nampak awak bila saya datang sana.” Memang sengaja Mr. Panda nak berlakon. Apa tujuan dia agaknya? Tak ke dia tahu penipuan atas penipuan akan memerangkap diri sendiri?
“Dia jarang keluar dari bilik. Pegawai paling berdedikasi.” Encik Ashraf jawab bagi pihak aku. Dia dah senyum semacam. Err...ada apa-apa yang aku tak faham ke sedang berlaku kat sini?

“Lain kali kalau saya datang, boleh ajak awak pergi minum.” Mr. Panda angkat kening kat aku. Terus muka aku jadi merah.

“Leha sihat?” Tiba-tiba aje Encik Ashraf mencelah.

Wajah Mr. Panda terus berubah serius. Nampak sangat dia tak suka bila Encik Ashraf bangkitkan nama Leha tiba-tiba.

Encik Ashraf dah senyum sinis pandang Mr. Panda. “Tak lama lagi Izz nak bertunang dengan Leha...my coursemate masa kat Birmingham dulu.” Dia cakap sambil pandang muka aku.

Bertunang? Muka aku terkejut habis. Tapi lekas-lekas aku maniskan wajah. Harap-harap Encik Ashraf tak peka dengan perubahan air muka aku tadi.

“Tahniah.” Aku senyum kaku pada Mr. Panda. Suara aku kawal supaya tak bergetar. “Err...Encik Ash, dah lewat ni. Saya rasa kita patut beredar.” Dengan penuh formal aku cakap. Macam baca skrip drama TV gred D aje. Hati aku kat dalam dah berkocak-kocak ganas.

Mr. Panda nak bertunang dengan Leha? Aku rasa macam nak pengsan. Kepala pun ada rasa nak pitam. Tapi aku gagahkan diri berdiri dengan tenang kat situ.

“Saya balik dulu.” Aku pandang Mr. Panda sekilas sebelum berpaling dan terus ke pekarangan bangunan, tinggalkan Encik Ashraf dan Mr. Panda kat situ.

“Nanti nak bertunang, jangan lupa jemput. Aku boleh datang dengan Fina.”

Aku dengar suara Encik Ashraf cakap kat Mr. Panda. Waktu tu mata aku dah panas. Janganlah nangis. Bukannya teruk sangat. Mr. Panda nak bertunang dengan Leha aje. Tiba-tiba laju aje air mata aku keluar mencurah-curah. Tidak!!!!!

Aku akan buat Mr. Panda merana lepas ni. Rasa apa yang aku rasa sekarang. Tengoklah!

6 comments:

  1. best sgt..x sabar nk bca next entry..fina nk buat mr.panda jelous ker..

    ReplyDelete
  2. Kesian kat fina.....cabaran sungguh bila mr. Panda nk bertunang ngan leha

    ReplyDelete
  3. Aura Fina n mr P tak sampai lagi.... sebab aura KKG terlalu kuat

    ReplyDelete
    Replies
    1. bawa bertenang dulu kak yana. tangkap aura satu persatu...heheheh

      Delete

@Que Sera Sera |