Friday, 27 June 2014

Assistant Pak Menteri~Bab 3

Untuk makluman, novel ini sedang dinilai untuk terbitan. Susunan bab tak sama di sini dengan versi novel. Bab ini versi belum edit. 

RAW YO!


iPAD mini kat tangan aku belek. Akhirnya terpaksa juga aku mengalah bila dia dah mula sentuh bab dosa. Bukannya aku tak tau atau sengaja tak nak ambil tahu. Aku buat semua ni sebab dia juga. Sebab nak selamatkan nyawa dia. Salah ke? Kalau aku tak sayang dia, aku tak buat macam ni. Aku lagi suka kena belai dan manja dengan dia.

Aku rindukan kemesraan kami masa kat Surrey dulu. Masa kami bebas daripada semua belenggu masalah yang menghantui keluarga kami sejak sekian lama. Kat Surrey dulu, Montague dan Capulet bebas menyulam kasih tanpa halangan sesiapa. Tapi bila pijak aje bumi Malaya, Rumi dan Juli terpaksa jua berpisah.

Keadaan tak mengizinkan kami terus bersama seperti yang sepatutnya. Lepas kejadian kat KLIA tu, hubungan aku dengan dia renggang. Macam tak pernah kenal. Dia buat hal dia. aku buat hal aku. Mujurlah tak satu kementerian meskipun sama-sama kerja dengan kerajaan. Itu pun secara tak sengaja. Aku tak tau pun dia minta PTD. Mujur aku tak minta walaupun Rashdan dah desak banyak kali.

Tapi bila Rashdan tahu dia dapat jadi PTD, dia pula yang bersyukur sebab tak ikut cakap dia hari tu. Siap tanya lagi berapa jauh jarak Treasury dengan Tourism. Aku bagitaulah...satu hujung sini, satu hujung sana.

Panjang bebelan Rashdan pada aku. Dalam bebel, terselit gak ugutan yang sama. Sama seperti yang pernah dia lafazkan di KLIA dan lepas balik dari KLIA. Ugutan dia yang buat aku tegar jauhkan diri dari Mr. Panda kesayanganku.

Dulu aku panggil dia si gemuk sebab masa zaman sekolah, dia sangat bulat dan tembam. Nama sebenar dia pun aku selalu lupa. Lepas kejadian dia selamatkan aku daripada penyangak Kampung Pinang Condong, aku mula panggil dia Mr. Panda hinggalah ke Surrey. Tapi dia tak tau pun yang aku gelar dia Mr. Panda. Nama dia pun aku segan nak sebut.

Kalau nak panggil dia, aku selalu sebut ‘awak’ aje. Sebab apa aku segan nak sebut nama dia pun aku tak tau mengapa. Rasa macam badan kena panjat dengan ulat bulu aje kalau aku panggil dia Izz Rizqi. Muka aku mesti merah padam. Entah apa yang nak dimalukan.

iPad tiba-tiba berbunyi. Terkejut aku. nyaris tak terlepas. Eh? iPad boleh Whatsapp? Segera ikon Whatsapp aku sentuh. Mesej daripada Mr. Panda.

“Sayang...rindu.”

Aku telan air liur. Wah...sejak bila pula Mr. Panda betul-betul jadi Romeo ni? Tiba-tiba aje nak manja-manja. Kenangan kat Surrey menjengah ingatan. Muka aku jadi merah. Ya...aku pun rindu dia juga. Sangat-sangat rindu. Tapi aku tak boleh cakap. Tak mahu dia tahu dan terus anyam impian yang mustahil tu. Dia...nampak bahagia dengan Leha. Aku tak mahu kacau daun.

Kalau aku jadi Leha, dah tentu aku tak mahu orang lain rampas kekasih aku.

Tapi...aku lebih berhak daripada Leha. Cuma aku saja yang sengaja menidakkan perkara tu. Alasannya, nak jauhkan Mr. Panda daripada bahaya.

“Cemana iPad boleh wassap?” Aku taip atas skrin. Lencongkan perhatian dia.

“Tak boleh sebenarnya. Saya jailbreak.” Mujur dia nak layan.

“Apa? Awak pecah masuk penjara?” Aku tanya lurus. Memang aku tak faham pun.

“Hahaha...cutelah awak ni. Kalau awak ada depan mata saya sekarang, saya cium awak puas-puas.”

Muka aku terus merah. Dengan kata-kata dia pun aku boleh terasa. Kalau betul-betul dia depan aku macam petang tadi, mau putus nafas aku sekali lagi.

“Sayang...pergi kat balkoni. Tak best borak tak tengok muka awak.”

Aku lepaskan keluhan. Patut ke aku ikut permintaan dia? Selama dua tahun ni aku berjaya buat bodoh dengan dia. Walaupun tinggal sebelah-menyebelah, kami berlagak macam orang asing.

Tapi entah mengapa, siang tadi segala-galanya berubah. Tiba-tiba dia datang kembali pada aku. Mesra balik macam dulu. Dia dah berhenti merajuk dengan aku ke?

“Sayang...please. Kalau tak saya ketuk pintu rumah awak kuat-kuat biar semua orang dengar. Bila mereka tanya, saya beritahu hal sebenar pasal kita.”

Wah...Mr. Panda keluarkan ugutan. Dia dah semakin agresif! Aku dah mula cuak. Kejadian siang tadi bermain di fikiran. Terasa badan aku berbahang bila ingat bagaimana erat dia peluk aku. Betapa hangat sentuhan bibir dia kat pipi aku.

“Okeylah. Tunggu jap.” Aku taip laju sambil jalan ke dapur. Manalah tau kalau aku terlambat dan dia buat betul-betul.

Daun pintu ke balkoni belakang aku kuak lebar. Dia dah senyum. iPhone di tangan, dia letak atas mesin basuh. iPad aku pula dah selamat atas breakfast bar.

“Nak apa?” Aku tanya malas. Balkoni belakang kami saling mengadap. Sebelah dinding sebelah lagi pemandangan ke jalan raya. Atas bawah, ada awning. Jadi memang privasi.

“Saya nak kita jadi macam dulu...macam kat Surrey.” Mr. Panda tongkat dagu kat pengadang batu sambil renung aku. Cara dia renung tu memang buat hati aku melompat gementar.

“Tapi awak dah ada Leha.” Aku kawal suara supaya tak nampak macam cemburu.

“Saya tak boleh hidup tanpa awak. Lagipun...awak yang halal untuk saya, bukan Leha atau mana-mana perempuan lain.” Cara dia cakap macam nak sedarkan aku.

Aku memang dah sedar pun hakikat tu. Malah aku sebenarnya sedang didik perasaan aku supaya redha jika Mr. Panda pilih Leha. Aku tak layak jadi isteri dia selama-lamanya. Kami tak akan bahagia bersama. Terlalu banyak halangan.

“Awak tak boleh suka-suka hati tinggalkan Leha.” Walaupun tak suka dengan apa yang aku cakap, aku tabahkan hati juga cakap macam tu. Demi dia, aku sanggup belakangkan perasaan aku sendiri.

“Saya pun tak boleh suka-suka hati lepaskan awak. Dua tahun saya ikut rentak permainan awak. Tapi...saya dah tak sanggup.”

“Kenapa pula tak sanggup?” Aku tanya sambil lewa. Muka aku buat tak kisah. Padahal hati aku dah tersentuh dengan kata-katanya. Dia masih sayangkan aku walaupun aku tak hiraukan dia selama ni. Sayu betul rasanya.

“Sebab Ash.”

Tersentak aku dengar dia sebut nama Encik Asyraf. Apa kena-mengena pula bos aku dengan aku?
Mr. Panda senyum sinis. Agaknya dia sangka aku pura-pura terkejut kut. “Awak selalu out station dengan dia. Lewat balik sampai malam berdua pun selalu, kan?”

“Saya buat kerjalah. Bukan bercinta!” Aku jawab keras. Tak suka betul kalau orang serkap jarang macam ni. Aku masih tahu batas seorang isteri. Cuma tanggungjawab isteri sepenuhnya aje aku masih belum tunaikan.

“Kalau sebab tu awak nak rapatkan hubungan kita balik, saya tak boleh terima. Sepatutnya kita bawa haluan masing-masing. Awak dah bersama Leha. Terus kan ajelah. Bila awak betul-betul nak kahwin dengan dia, kita pisah. Itu kan persetujuan kita dulu.” Pedih hati aku cakap macam tu. Tapi aku terpaksa.

Hubungan dia dengan Leha selama ni pun dah buat aku menderita sorang-sorang. Hati aku macam kena gigit jembalang aje tiap kali terserempak dengan dia berpacaran dengan Leha kat Alamanda. Naknya si Leha tu sengaja aje tergedik-gedik manja bila keluar dengan Mr. Panda.

“Saya dah cuba lupakan awak. Saya dah cuba berikan hati dan perasaan saya pada Leha. Tapi...awak tetap juga kukuh di hati saya.” Mr. Panda renung aku. Nada suaranya lirih sekali. Buat hati aku tersentuh berkali-kali.

“Fina, saya cintakan awak!”

No comments:

Post a Comment

@Que Sera Sera |