Sunday, 23 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 1-1

MOTORSIKAL kapcai tua pot pet pot pet masuk ke bawah rumah. Hujan masih lebat. Baju hujan yang dipakai Murshidi habis lencun. Air menitis-nipis ke tanah. Dia turun dari motorsikal dan segera menanggalkan baju hujan. Baju yang diperbuat daripada plastik campuran tu disidai pada ampaian. Esok nak pakai lagi. Sekarang ni musim hujan. Fungsi baju tu amat penting buatnya di kala cuaca basah seperti sekarang.

Bunyi tangisan bayi tiba-tiba bergema memecah kesunyian malam. Tersentak Murshidi. Berderau darahnya. Fikiran mula bersimpang siur memikirkan yang bukan-bukan. Walau hati terasa gundah, dia gagahi juga mengikut suara tangisan bayi. Langkah kakinya yang diatur berhati-hati itu membawanya ke belakang rumah.
Credit pic: Asiya & Safiya~the famous twin

Dadanya berdebar kuat. Semakin lama semakin kuat suara tangisan bayi. Datang dari arah pondok buruk yang dijadikan bangsal menyimpan alat-alat bertani. Pintu bangsal yang diperbuat daripada buluh, ditolak berhati-hati. Lampu gasolin yang tergantung, dinyalakan sumbunya. Perlahan-lahan suasana dalam bangsal kecil itu menjadi terang.

Suara bayi masih kedengaran. Di atas lantai tanah yang kering, kelihatan satu bungkusan kain yang bergerak-gerak. Segera Murshidi bercangkung dan membuka balutan kain. Beristighfar dia sekejap apabila terlihat seorang bayi comel sedang bermandi air mata. Hilang rasa takut. Diganti rasa marah dan simpati membuak.

“Manusia durjana mana yang sanggup meninggalkan bayi suci ni?” Dia hampir bertempik. “Mujur tak apa-apa! Durjana sungguh!” Sambil memaki hamun, dia mengendong si bayi kecil. Tangisan bayi itu terhenti perlahan-lahan. Mungkin dia rasa selamat dalam dakapan Murshidi.

“Zainab...Zainab...” Murshidi berlari-lari anak sambil terbongkok-bongkok kerana mahu melindungi bayi itu daripada terkena hujan. Dia memanjat tangga dapur. Pintu diketuk kuat.

Tak lama kemudian, pintu yang diselak dari dalam ternganga sebelah. “Kenapa, bang? Alih-alih nak masuk dari pintu belakang.” Zainab menggosok-gosok mata. Rambutnya menggerbang tak sempat disisir dek kejarkan bunyi ketukan pintu bertalu-talu

“Awak tengok...apa saya jumpa kat dalam bangsal kita?” Murshidi tunjukkan bungkusan kain kepada Zainab.

“Anak siapa ni, bang? Cantiknya!” Tanpa syak wasangka, Zainab terus mengambil bayi itu dari dakapan Murshidi.

“Entah manusia durjana mana yang tinggalkan anak? Pandai buat, tak nak pulak bertanggungjawab!” Kemarahan Murshidi belum menyusut memikirkan sikap tak bertanggungjawab orang yang meninggalkan bayi itu di dalam bangsalnya.

“Kita bela ya, bang? Kita tak ada anak perempuan.” Wajah Zainab bercahaya. Hatinya jatuh sayang pandang pertama pada si bayi yang sangat comel. Tak pernah dia jumpa bayi secomel dan seharum itu. Anak siapa agaknya?

Bulat mata Murshidi merenung isterinya yang ralit membelek si bayi. “Biar betul, awak ni? Kita tak tahu asal usul bayi ni.” Walaupun ragu-ragu, dia sebenarnya suka dengan cadangan Zainab.
“Anggap ni rezeki kita, bang. Terima ajelah anak ni.” Zainab terus masuk ke dalam rumah, membiarkan Murshidi terpinga-pinga kat atas tangga.

Lama Murshidi termenung memikirkan keputusan Zainab. Akhirnya dia menarik nafas panjang. Anak itu bukan beban. Anak itu tak berdosa. Biarlah dia dan Zainab yang jaga daripada nasibnya tak ketentuan di rumah kebajikan.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

No comments:

Post a Comment

@Que Sera Sera |