Tuesday, 25 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 2

LOCENG berbunyi. Mariam yang sedang tersengguk-sengguk di meja, terus tersentak. “Ada orang tinggalkan baby!” Spontan dia menjerit walaupun tak ada sesiapa yang nak dengar. Dah jadi rutin dia begitu. Setiap kali loceng berbunyi, mesti ada bayi yang ditinggalkan di rumah perlindungan itu.
Kunci dicapai. Mariam membuka pintu. Selepas sarung selipar, dia berjalan ke arah satu ruang. Di ruang yang berbumbung itu terdapat sebuah bakul besar dan tali untuk loceng.

“Mari kita lihat siapa yang kena?” Mariam berlagu sendirian. Selak kain dibuka. Bulat matanya. “Wuihhh... cantiknya kamu ni... anak model mana yang malang sampai kena buang ni?” Dia terus kendong si bayi yang tertidur lena. Terburu-buru dia masuk ke dalam. Mujur malam tu dia bertugas sendirian. Rezeki terpijak. Lebar mulutnya menyengih.

Sambil mengendong bayi, dia capai telefon mudah alih. Satu nombor didail. Sambil menunggu panggilan dijawab, Mariam mencongak-congak habuan yang bakal dia dapat malam tu.
“Apa mau?” Suara Nyonya Mansur bergema di hujung sana.

“Nyonya... cantik bayi ni. Kulit putih halus. Pipi merah. Rambut hitam. Cantik sangat! Sesuai untuk Nyonya!” Begitu teruja Mariam bercerita.

“Baru sampai?”

“Baru. Tak ada sesiapa tau. Cepat Nyonya kalau mahu.” Mariam mengekek tergelak.

“Sekejap lagi aku datang. Simpan dulu bayi tu. Jangan bagi orang nampak.”

“Baik, Nyonya. Aku tunggu duitnya, ya.” Mariam meletakkan telefon. Dia bernyanyi-nyanyi sambil berpusing-pusing bersama bayi yang masih lena itu. Memang rezeki dia lagi malam tu. Sebab itu dia suka kerja malam. Waktu malam memang banyak bayi ditinggalkan di situ. Bulan tu saja, dia berjaya jual lima orang bayi. Tak termasuk bayi comel yang ni. Memandangkan bayi ni teramat comel, Mariam nak naikkan harga dua kali ganda. Tentu Nyonya Mansur tak akan menolak lepas dia tengok sendiri bayi ni.

SEBUAH kereta mewah berhenti di pekarangan rumah perlindungan. Segera Mariam keluar dan terus masuk ke dalam kereta tanpa dilihat sesiapa. Dia perlihatkan bayi comel itu kepada Nyonya Mansur. Terbuntang mata perempuan itu melihat akan kesempurnaan wajah si bayi. Seketika, dia diam tanpa kata-kata.

Mungkin dia juga sedang mencongak di kepala akan keuntungan pelaburan yang akan diperoleh daripada bayi itu kelak. Makin lebar senyuman Mariam.

“RM10 ribu, Nyonya. Mau?” Dia memulakan tawaran.

“RM10 ribu?” Mata Nyonya Mansur belum berkalih. Ralit merenung wajah si bayi. Walaupun diterangi lampu dalam kereta, sudah cukup baginya menilai kecantikan bayi itu. “Bole... bole.” Dia terus ambil bayi itu dari dakapan Mariam. “Budin, kasi uang sama Mariam.” Tanpa alihkan muka, Nyonya Mansur memberikan arahan kepada pemandunya.

Tersenyum-senyum Mariam menyambut sampul gemuk berisi wang tunai berjumlah RM10 ribu. Untung besar dia malam tu. Untung terpijak. “Makasih ya, Nyonya.” Mariam keluar dari kereta.

“Ayo pulang, Budin. Hari ni aku sungguh gembira. Anak ini akan berikan aku uang yang banyak.” Nyonya Mansur mengusap pipi mulus si bayi.

“Nyonya nak panggil dia apa?” Budin memandang Nyonya Mansur menerusi cermin tengah. Dia lihat majikannya begitu asyik merenung bayi comel yang harum baunya itu. Entah pewangi apa yang Mariam semburkan? Baunya sungguh asyik. Memukau jiwa.

“Wajahnya pasti ayu bila dewasa kelak. Maka aku gelar dia Ayu...Ayuna.” Terasa lega dada Nyonya Mansur selepas dia ucapkan nama itu. Mungkin nama itu dah tertulis untuk jadi milik bayi kecil ini.

Kereta yang dia naiki akhirnya tiba di sebuah mansion yang besar dan terletak di atas bukit. Mansion itu kelihatan seperti istana lama, tersergam indah di tengah-tengah hutan. Walaupun nampak seperti menyeramkan, sebenarnya mansion itu tak pernah sunyi daripada kunjungan banyak orang kaya dan berada.

Kelak, mansion itu pasti akan lebih masyhur dengan kehadiran Ayuna. Dia harus bersabar untuk 20 tahun akan datang. Dalam masa tu, akan dilatihnya Ayuna menjadi seorang Lady yang penuh sifat kewanitaan. Kelembutannya akan menjadi bual bicara. Keayuannya akan menjadi kegilaan ramai. Dan nilai dirinya pasti akan melonjak-lonjak. Masa itulah, Nyonya Mansur akan mengaut keuntungan yang melimpah ruah.

Pelaburan yang dimulakan pada malam itu, tak akan sia-sia.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

No comments:

Post a Comment

@Que Sera Sera |