Thursday, 27 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 3

ENTAH berapa lama dia menghabiskan masa dengan tangisan? Wajahnya basah melekit dek air mata. Retno Dumilah mengangkat muka mahu merenung ke hadapan. Mulutnya separa ternganga. Matanya dikelip berkali-kali. Antara percaya dengan tidak melihat pintu bilik kurungan terbuka separuh. Siapa yang bukakan pintu untuknya? Ayahandakah? Raja Hantu sudah memaafkan dirinya? Kekanda Kael juga sudah tidak marah kepadanya?

Hatinya yang gundah terasa girang. Sisa air mata disapu dengan belakang lengan baju. Tergesa-gesa dia bangun. Rasa sakit selepas melahirkan dua bayi kembar tadi seolah-olah tak terasa. Dia lebih teruja mahu keluar dari situ mencari anak-anaknya.

Keadaan penjara di bawah tanah suram dan sunyi. Ke mana pergi semua pengawal? Retno Dumilah melangkah hati-hati sambil mengampu perut dengan sebelah tangan. Keadaan perutnya masih sedikit membuncit. Belum mengempis sepenuhnya selepas kelahiran puteri-puterinya. Di manakah mereka? Adakah mereka selamat? Retno Dumilah tetap tak berhenti mengharap. Di mana Rafiqi? Selamatkah dia daripada amukan ayahanda?

Di hujung lorong, dia terlihat satu lembaga berpakaian putih. “Siapa?” Dengan berani dia bertanya. Dia sangat yakin lembaga itu bukan pengawal istana Raja Hantu yang semuanya berpakaian hitam.

“Ikut aku kalau kau mahu selamat.” Suara itu bergema perlahan.

Lembaga itu hilang di sebalik selekoh. Lantas Retno Dumilah mempercepatkan langkah mengejar lelaki berpakaian putih itu. Dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuan mereka. Bahagian penjara ini amat asing bagi dirinya. Setelah beberapa waktu melintasi pintu kayu yang berbaris yang mengurung entah apa jenis banduan, laluan mereka terhalang dek satu pintu kayu di hujung lorong.

Pintu itu seperti tidak berkunci kerana begitu mudah lelaki tua berjanggut itu membukanya. Retno Dumilah terus mengekori tanpa syak wasangka. Pintu itu membawanya keluar dari lorong bawah tanah. Mendaki sedikit dan muncul di tengah-tengah hutan belantara. Nafas Retno Dumilah sedikit mencungap. Dia tersandar pada batang pokok mengambil nafas. Tenaganya masih belum pulih sepenuhnya. Tambahan pula sejak melahirkan, dia belum minum darah.. Tekaknya terasa amat dahaga.

Setelah melepaskan lelah dan mengambil nafas, baru Retno Dumilah sedari. Lelaki tua yang membantu melepaskan dirinya langsung tak kelihatan di mana-mana. Seolah-olah lelaki itu ghaib ditelan udara. Tanpa memikirkan keanehan itu, Retno Dumilah meneruskan langkah. Dia harus tinggalkan tanah Daemon untuk mencari Rafiqi dan puteri-puterinya. Sebentar lagi matahari akan menjelma. Dia tak ada masa yang panjang untuk melarikan diri.

Langkah kaki diatur pantas. Rasa letih dan sakit langsung tak dipedulikan. Tika jalur suria menyentuh hujung kaki langit, dia tiba di tempat pertama kali dia bertemu dengan Rafiqi. Dia terus mendongak ke atas. Rumah pokok mereka dah musnah dirosakkan oleh orang-orang Nian. Sebak rasa hatinya. Tika dia melepaskan penat sambil bersandar pada batu, hidungnya mencium satu bau yang wangi. Bau darah muda yang segar. Kedua-dua bilah siungnya mula memanjang. Retno Dumilah sudah tiada kawalan diri kerana dia terlalu letih dan kekurangan tenaga.

Di sebalik rimbunan semak, muncul seorang kanak-kanak kecil berjalan sendirian. Menangis perlahan sambil memanggil mamanya. Saat itu Retno Dumilah hanya nampak darah. Seperti harimau bintang, dia menerkam ke arah si kecil. Kedua-dua bilah siungnya terbenam kejap pada batang leher si kecil. Langsung tiada bunyi yang kedengaran dari bibir kecil itu.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

No comments:

Post a Comment

@Que Sera Sera |