Friday, 28 October 2016

Kau Kekasih Gelapku~Bab 4

RIHANNA mendongak merenung langit yang terang dipancar cahaya bulan. Angin bertiup agak kencang malam itu membuatkan suhu semakin dingin. Dia menggosok-gosok lengan bagi menghalau kedinginan yang menggigit kulit yang hanya di alas dengan gaun nipis. Indah sungguh suasana malam di kampung itu. Dah lama dia tak rasa tenang dan nyaman. Dek terlalu mengejar cita-cita, dia jarang balik ke kampung sejak tamat belajar. Mujur mak dan ayah faham mengenai cita-citanya.
“Belum tidur lagi?” tegur satu suara dari tanah.

Kepala Rihanna terus tunduk memandang ke bawah. “Bila abang sampai?” Terkejut dia melihat Addi. Lelaki itu masih lagi berseragam celoreng.

“Petang tadi. Tapi abang keluar kejap pergi surau. Kan ada kenduri.” Addi yang sedang duduk bersandar pada motor ayah, berpeluk tubuh mendongak memandang Rihanna yang berdiri di tingkap biliknya. Dia suka tengok Rihanna. Wajahnya kelihatan semakin jelita terutama di bawah cahaya rembulan. Sudah lama mereka tak berjumpa. Masing-masing sibuk dengan tugas.

“Lama Hanna cuti kali ni?” Addi tak mahu saat-saat berdua-duaan begitu dibiarkan hambar tanpa perbualan. Bukan senang nak dapat peluang bersama Rihanna. Sejak sama-sama meningkat dewasa, hubungan mereka agak terpisah. Dah tak mesra seperti zaman kanak-kanak dan remaja.
“Seminggu. Baru habis shift malam. Abang?” Rihanna menyandarkan kepala pada sisi tingkap. Dia senang memandang ke arah Addi. Seorang lelaki yang dia percayai sejak kecil. Lelaki yang akan melindunginya sampai bila-bila. Ibarat seorang abang yang tak pernah dia ada.

“Dua minggu. Baru habis operasi.” Addi nampak peluang untuk merapatkan kembali hubungan mereka. Selama lima hari itu, dia akan berpeluang mendekatkan diri dengan Rihanna. “Esok abang nak ke bandar. Belikan hadiah untuk mak dan ayah. Dah lama abang tak belikan mereka sesuatu. Hanna nak ikut?” Addi mula mengumpan. Gunakan nama mak dan ayah untuk selindungkan hajat sebenar di hati.

Rihanna diam seketika memikirkan pelawaan Addi. Dia juga dah lama tak belikan apa-apa yang istimewa untuk mak dan ayah. Rihanna tiba-tiba teringat tentang mesin jahit mak yang dah rosak. Walaupun mak tak pernah minta, dia tahu mak tentu suka kalau dapat mesin jahit baru. Terutama kalau model baru yang lebih canggih daripada mesin cap Singer manual yang dah berumur belasan tahun tu.

“Boleh. Hanna nak berikan mak satu kejutan.” Di hujung kata, dia tergelak kecil. Di fikirannya terbayang akan kegirangan wajah mak tatkala menerima mesin Singer elektrik. Tak perlulah mak nak mengayuh sepanjang masa.

Addi tersenyum melihat keceriaan Rihanna. Hatinya makin tertambat. Lagi payah dia hendak melepaskan gadis itu pergi daripada fikirannya selepas ini.

*****

PREORDER KOMBO KKG RESET & MINI NOVEL MYRNA DIBUKA SEKARANG hingga 11hb November 2016.
(Limited print. Lepas tamat preorder, harga akan berubah)
Online Order Here

1 comment:

  1. Akak sera,please Jual online lagi 😭 nak beli ni😭 sbb Xhbis baca 😂

    ReplyDelete

@Que Sera Sera |